Indahnya sedekah dan kelebihan sedekah ni, ia tidak terhad pada mereka yang ada lebihan rezeki sahaja seperti duit. Malah skop sedekah ni sangat luas.
Tidak terhad pada wang ringgit dan golongan tertentu sahaja. Oleh itu, setiap orang tidak terkecuali daripada mendapatkan manfaat dan kelebihan sedekah yang akan dihuraikan nanti.
Indahkan Islam ni?
Sebelum kita ketahui kelebihan sedekah, eloklah kita faham apakah maksud sedekah yang sebenar ni? Benda ni nampah remeh, tapi bila kita faham, natijah yang kita peroleh adalah lebih daripada apa yang kita sangkakan.
Takrif Sedekah
Dari segi bahasa, sedekah adalah pemberian ikhlas dari hati yang bersih.
Manakala dari segi istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian semata-mata untuk mendekatkan kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. (1)
Hal ini seperti yang dinyatakan dalam firman Allah, mafhumnya:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 271)
Sedekah secara terbuka atau sembunyi, dua-dua adalah bagus.
Lebih bagus adalah secara bersembunyi, kerana kesannya lebih mendalam untuk bersihkan jiwa kita berbanding secara terbuka yang membuka ruang kepada unsur-unsur riak dan takabbur.
Seterusnya, mari kita lihat apakah kelebihan sedekah berdasarkan nas dan dalil yang sahih.
1. Dikurniakan balasan baik yang berlipat kali ganda
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah al-Baqarah: 265)
Kenapa kebun di tempat yang tinggi yang dipilih sebagai perumpamaan?
Dr. Wahbah al-Zuhaili ada huraikan hal ini dalam Tafsir al-Munir. Kebun atau dataran yang berada ditempat yang tinggi lebih terdedah kepada :
- Sinaran cahaya matahari
- Pengudaraan yang baik
- Disirami hujan yang lebat
Oleh itu, kebun di kawasan yang strategik itu adalah lebih subur dan boleh menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak.
Betapa strategiknya lokasi kebun ini, dengan hujan renyai-renyai pun sudah cukup untuk menyuburkan tanaman.
Dari sini kita boleh faham, walau sekecil manapun sedekah atau sumbangan kita, ia tetap ibarat satu kebun yang subur ditempat tinggi. Akan sentiasa disirami untuk hasilkan manfaat yang berpanjangan.
2. Pahala yang berkembang sebesar gunung Uhud
Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”
Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadis hasan sahih.
3. Hidup dalam keadaan tenang
Firman Allah SWT:
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُم بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلَانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
(Surah al-Baqarah: 274)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menghuraikan lagi yang dimaksudkan tidak ada kebimbangan adalah seseorang tidak merasa sedih dan menyesali atas apa yang dia tidak mampu raih dari kehidupan dunia dan keindahannya. Ini kerana dia telah menjumpai apa yang jauh lebih baik daripada itu semua.
4. Dipermudahkan perhitungan di akhirat nanti
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنيَا نَفَّسَ اللهُ عنهُ كربَةً مِنْ كُرَبِ يومِ القيَامَةِ ومنْ يسَّرَ عَلى مُعسِرٍ يسَّرَ اللهُ عليهِ فِي الدُنيَا والآخِرَةِ ومَنْ سَتَرَ مُسْلِماً سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنيَا والآخِرَةِ واللهُ فِي عَوْنِ العَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عونِ أخيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah SWT akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan di Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat atau keaiban) nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya.
Riwayat Muslim (2699)
Masyarakat yang mengamalkan sikap tolong-menolong dalam kalangan mereka, maka sudah pasti pertolongan Allah SWT buat mereka. Sesungguhnya masyarakat tidak akan lurus dan stabil, tidak akan kuat dan kukuh kecuali jika ia dibina di atas dasar tolong-menolong ataupun bantu-membantu di antara individu. Oleh itu, setiap individu hendaklah berusaha memenuhi keperluan orang lain dengan jiwa, harta dan kedudukannya, sehinggalah semuanya merasakan bahawa mereka adalah seperti satu tubuh. Inilah yang dianjurkan oleh Islam dan diperintahkan oleh al-Quran. Manakala al-Sunnah pula menjadikannya sebagai lambang kepada masyarakat beriman. (Lihat al-Kafi Syarah Hadith 40, hlm. 338)
5. Diampunkan dosa
Kedua: Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal RA, beliau berkata: Wahai Rasulullah SAW, beritahu kepada saya suatu amalan yang akan memasukkan saya ke dalam syurga dan menjauhkan saya dari neraka. Baginda lalu bersabda:
لَقَدْ سَأَلْتَنِي عَنْ عَظِيمٍ ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ ، تَعْبُدُ اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ ، وَتَحُجُّ البَيْتَ, ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الخَيْرِ : الصَّوْمُ جُنَّةٌ ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ
Maksudnya: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa sepertimana air memadam api.”
Riwayat al-Tirmizi (2616)
Bukan sahaja dihapuskan dosa-dosa tu, malah kesan dan akhibat daripada dosa yang kita lakukan itu juga turut terhapus. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Al-Mubarakfuri dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi (2).
Begitulah betapa besarnya kelebihan sedekah yang telah dijanjikan oleh Allah.
Bagi mencapai makna sebenar sedekah iaitu mendekatkan diri kepada Allah, perlulah dilakukan dengan betul-betul ikhlas. Agar amalan kita tadi tiada cacat cela dan seterusnya diterima amalan dan memperoleh kelebihan sedekah itu tadi.

