infaq-masjid

Infaq

Sudah menjadi satu perkataan yang sangat sinonim dengan umat islam. Bahkan hampir setiap hari perkataan ini sampai kepada kita samada melalui pengumuman di masjid, televisyen dan juga media sosial.

Apabila berbicara tentang infaq, apa yang bermain dalam fikiran kita adalah, orang yang berkongsi ini sudah tentu mereka yang kaya-raya dan memiliki harta yang banyak.

Betul ke?

Maksud Infaq

Untuk menjawab persoalan ini, perlu untuk kita memahami terlebih dahulu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan infaq? Apakah pula perbezaan antara infaq dengan sedekah?

Menurut al-Jurjani, infaq bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat.

Rujuk al-Ta`rifat (1/39).

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (2:3):

 الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: (Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunaikan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.

Dalam Jami’ al-Bayan, Imam al-Tabari menyatakan bahawa perkataan ‘ينفقون’ dalam ayat ini merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang yang berada dalam tanggungan.

infaq-muslim-kid

Apa Beza Infaq Dengan Sedekah?

Sedekah pula membawa maksud pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Taala. Rujuk al-Ta`rifat (1/132). Sedekah yang dimaksudkan ini termasuklah zakat wajib, dan sedekah sunat seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, (9:60):

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Berdasarkan ayat yang telah dibincangkan oleh para ulama’, jelaslah bahawa ia membawa makna yang sama dengan sedekah dan terbahagi kepada dua; wajib dan tidak wajib.

Wajib seperti membayar zakat dan memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Manakala yang tidak wajib adalah seperti bersedekah samada kepada orang perseorangan ataupun kepada pertubuhan yang melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

Maka, daripada penjelasan tentang makna infaq dan sedekah ini, jelaslah kita bahawa bukan orang kaya sahaja boleh berinfaq. Setiap zakat yang telah dikeluarkan walaupun nilainya tidak besar, tetap pahalanya dikira.

Begitu juga dengan setiap sen yang dibelanjakan untuk mencukupkan keperluan isteri dan anak-anak, ia juga dikira sebagai infaq.

Infaq Tidak Akan Mengurangkan Harta

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّه

Dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri karena Allah, melainkan Allah akan mengangkat derajatnya.”

(HR Muslim : No 4689)

Kita selalu nampak bila kita beri apa-apa pemberian, berlakunya pengurangan pada diri kita.

Contoh paling mudah duit.

Kita sedekah RM10, yang kita nampak adalah kita telah berkurangan sebanyak RM10. Tapi apa yang kita tak nampak, bila kita beri sesuatu pemberian, amal itu dihitung oleh Allah sebelum sampai kepada si penerima tu lagi.

Jangan takut untuk memberikan sesuatu, tambah-tambah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Untuk memulakan sekecil-kecil pemberian, anda boleh klik link di bawah untuk mulakan infaq. Sumbangan boleh dilakukan dengan seikhlas hati tanpa paksaan.

Infaq Hari Ini!

 

Yang penting, ia mestilah dilakukan bagi mencapai maksud yang sebenar iaitu mendapatkan pahala daripada Allah SWT.  Maka, berusahalah untuk memastikan apa jua harta yang dikongsikan adalah daripada sumber yang halal dan tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat agama.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *